1.
Aku dikejutkan oleh bunyi riuh rendah di luar rumah. Kedengaran bunyi teriakan kanak kanak dan suara orang. Aku segera keluar dari bilik tidur untuk mengetahui apa yang terjadi. Lantas kubuka jendela. Betapa terperanjatnya aku. Air berwarna kuning telah berada di depan rumah. Aku terpegun dan gementar melihat air banjir yang deras mengalir. Aku segera mengejutkan Ain, anak perempuanku. Tiba tiba aku dengar orang memanggil namaku, "Berkemas cepat Mas. Ambil barang-barang perlu sahaja," jeritnya.Tanpa membuang masa aku mengambil beberapa beg dan mengisikan passport antara bangsaku, dokumen penting dan beberapa helai pakaian. Kami terus meninggalkan rumah dan meredah air banjir ke rumah jiran yang lebih tinggi. Aku sempat menoleh jam di tangan. Baru pukul 3.00 pagi.
Di situ telah ramai orang berkumpul. Dari beranda, aku melihat air banjir telah naik mencecah hampir lapan kaki. Beberapa buah bot telah bersedia untuk membawa penduduk meninggalkan rumah masing-masing. Sampah sarap, pasu-pasu bunga kelihatan berkaparan dan hanyut. Binatang-binatang ternakan berenang-renang untuk menyelamatkan diri.
Melihat air banjir yang semakin naik,aku jadi gementar. Aku tak henti-henti berdoa.semoga selamat dari musibah ini. Ini adalah kali pertama aku mengalami banjir besar ini. Siang tadi tidak ada sedikit pun air di halaman rumah kami. Hujan pun tidak turun. Keadaan tenang saja. Kanak-kanak bermain seperti biasa, seolah-olah tidak ada apa yang akan berlaku.
Malam itu kami tidur seperti biasa hinggalah mendengar jeritan jiran di awal pagi. "Bangun Mas, bangun. Air sudah naik.". Aku tidak menduga secepat itu air memenuhi halaman rumah.Aku diberitahu bahawa beberapa jalan di Kota Bharu sudah pun dinaiki air.
2.
Pagi itu aku dan Ain sempat lagi naik ke rumah. Kami cuba selamatkan mana-mana barang yang boleh diselamatkan barangan dapur dan beberapa barang elektrik lagi diletakkan di tempat tinggi. Kira-kira pukul 2.00 petang air mulai masuk ikut dapur kedudukan nya yang lebih rendah. Kami juga sempat selamatkan tv, buku-buku ,kitab dan pakaian.
Selepas mengerjakan solat zohor, aku terus berdoa. "Wahai bumi telanlah airmu dan wahai langit hentikan curahan hujanmu" itulah antara doaku berulang ulang kali.
Beberapa buah bot terus membawa mangsa-mangsa ke pusat pemindahan. Suasana menjadi kelam kabut dan riuh rendah.Aku hanya diam dan sekali sekala agak cemas, apabila bot bergoyang menempuh arus yang agak deras itu.
Kami dikehendaki turun di jalan besar dan meredah air hingga ke Pusat Permindahan,iaitu Sekolah Maahad Lelaki yang terletak kira-kira satu km. dari situ.
Ketika kami sampai, mangsa banjir sudah pun ramai, hampir memenuhi ruang-ruang kosong dewan sekolah itu. Kami ditempatkan di suatu tempat di atas tikar plastik, yang berkongsi dengan mangsa-mangsa lain.Di situlah kami tidur tanpa tilam dan bantal untuk beberapa malam.Pada malam pertama hujan turun dengan lebatnya. Kami tidak dapat melenakan mata walau sejenak.Kami kesejukan tanpa selimut. Suasana bising dan riuh apabila datang mangsa-mangsa baru. Tempat menjadi semakin sesak.
Pada hari kedua,oleh kerana bekalan air terputus, kami terpaksa mengambil wuduk menggunakan air banjir yang berwarna kuning itu di padang sekolah. Pada pagi itu aku terasa sangat lapar kerana sejak malam tadi aku tidak menjamah makanan sedikit pun, lalu aku bersama Ain keluar dari sekolah itu untuk mencari makanan.
Kami terpaksa meredah air yang naik sehingga ke paras lutut. Kedai kedai di sepanjang jalan kelihatan semuanya tutup. Kereta-kereta banyak tersadai di situ.Kami menyusuri air banjir sejauh lebih satu km untuk mendapatkan makanan.Tetapi usaha kami tidak berjaya.Kami pulang semula ke pusat permindahan itu dengan rasa hampa.Pada pagi itu,kami dikehendaki beratur untuk mendapatkan makanan untuk sarapan.yang merupakan beberapa keping biskuit sahaja.Hatiku tersentuh bila ada orang yang berebut- rebut untuk mendapatkan makanan,sehingga berlaku perselisehan faham.
Pada tengahari itu kami diberitahu Yang Amat Berhormat Perdana Menteri akan datang melawat pusat pemindahan ini. Aku berharap dapat melihatnya dari dekat dan merakamksn ucapan terima kasih padanya. Alhamdulillah hasratku tercapai.Selepas itu sebuah helikopter dari Tentera Udara Malaysia mendarat dan membawa makanan makanan untuk mangsa banjir.
Pada hari ketiga, mangsa banjir meningkat sehingga 2,000 orang. Aku diberitahu makanan dan minuman tidak mencukupi untuk menampung mangsa seramai itu. Sejurus kemudian kami dikehendaki berpindah ke tempat lain. Tetapi aku dan Ain dan beberapa orang jiranku tidak mahu berpindah kerana itu tempat agak jauh.
Malam itu hujan turun dengan lebatnya.Kami terpaksa menadah air hujan yang turun ke dalam botol untuk kegunaan pada keesokannya.
Pada hari keempat 28hb December 2014, aku masih berada di pusat pemindahan tersebut. Pada awal pagi lagi kami terpaksa beratur panjang sambil memegang sebuah pinggan dan cawan plastik untuk diberi makanan untuk sarapan. Selepas bersarapan,urusetia membahagi-bahagikan pakaian yang didermakan oleh penderma dari KL. Aku turut mendapatkannya kerana pakaianku telah habis digunakan. Pada tengahari itu kami diberi makanan segera maggi,yang digoreng. Aku yang tak berminat makan mee segera terpaksa menerimanya kerana takut kelaparan.
Pada petang itu, beberapa orang doktor perubatan datang untuk memeriksa kesihatan kami. Aku tidak lepaskan peluang untuk memeriksa tahap kesihatanku.Setelah beratur panjang,aku didapati menghadapi tekanan darah rendah. Rupanya situasi di pusat pemindahan itu menjejaskan kesihatanku. Dua hari berturut-turut aku terpaksa menahan daripada buang air besar. Badanku juga terasa lemah kerana kekurangan air.
Bekalan elektrik dan air masih belum pulih lagi, Mangsa- mangsa banjir bertambah ramai. Kesesakan semakin terasa, Aku semakin tidak selesa. Aku rasa lebih baik meninggalkan Pusat Pemindahan itu. Lagi pun aku tak tahu apa dah jadi dengan rumahku yang ditinggalkan sejak beberapa hari lalu.
Kami memberanikan diri pulang dengan meredah air separas bahu yang masih deras itu. Kami melihat banyak kenderaan masih tersadai di kiri kanan jalan.Rumah-rumah kediaman kebanyakannya ditenggelami air. Aku dan Ain terus berazam ingin pulang ke rumah juga.
Dengan susah payah, akhirnya kami sampai di rumah. Kami sungguh terkejut. Keadaan rumah penuh dengan selut dan kotor."Ya Allah, berikan aku kesabaran untuk mengatasi ujian darimu," doaku dalam hati. Perabot dan kabinet kayu habis rosak dan perkakas dapur berselerakan. Kami terus membersihkan rumah dengan air banjir yang masih banyak diluar pintu.
Oleh kerana bekalan elektrik telah terputus selama empat hari, banyak makanan yang ada dalam peti ais telah rosak dan terpaksa dibuang.
Sesungguhnya ujian dari Allah tidak terjangka.Aku benar benar pasrah pada ketentuan dari Allah. Setiap yang berlaku itu ada hikmahnya. Aku berdoa semoga aku mendapat ganjaran dari Allah di atas musibah yang kuhadapi ini.
No comments:
Post a Comment